Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah dalam kenyataannya hari ini berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.24 pagi sebelum menggerakkan tiga jentera beserta 31 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian.

Menurut kenyataan berkenaan, operasi memadam kebakaran masih diteruskan di lokasi kejadian pada masa ini.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, dua wanita nyaris maut selepas rumah mereka di Kampung Batu 60, Jalan Bambangan, Beaufort, kira-kira 90 kilometer dari sini dihanyutkan arus deras atau kepala air petang semalam.

Dalam kenyataan PGO hari ini, dua mangsa itu Rozlin Epal, 41, dan Shirley Pius, 21, terpaksa berpaut pada sebatang pokok untuk menyelamatkan diri selepas masing-masing dihanyutkan air deras kira-kira 50 meter dan 100 meter.

Kedua-duanya kemudian diselamatkan oleh anggota keluarga mereka.

Sementara itu, anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian menasihatkan penduduk yang tinggal di tebing sungai agar sentiasa berwaspada dan berpindah sekiranya paras air sungai meningkat semula. - BERNAMA