Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, hujan lebat disusuli ribut dan guruh selama kira-kira 10 minit menyebabkan penduduk bimbang dan ketakutan.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 100 buah rumah rosak teruk membabitkan kerosakan seperti bumbung rumah diterbangkan selain roboh dan pokok tumbang.

Antara kawasan yang terjejas termasuk Taman Penaga, Taman Seri Penaga, Taman Sejahtera, Pasir Gebu, Kampung 20, Permatang Rawa, Bakar Kapur, Permatang Tok Labu, Kota Aur dan Permatang Janggus.

Seorang mangsa di Kampung Tepi Laut, Mohd. Syukri Mueen, 40, berkata, ketika kejadian itu dia bersama isteri dan empat anak baru bangun untuk bersahur.

“Tiba-tiba saya dengar bunyi ribut kuat dan rumah seolah-olah bergegar sehinggalah bumbung di dua buah bilik diterbangkan angin.

“Ketika itu anak-anak baru bangun dan sedang menjamah makanan bersahur sebelum mereka yang ketakutan menangis akibat ribut kuat itu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Mohd. Zain Ahmad berkata, pihaknya akan memberikan bantuan sewajarnya kepada mangsa yang terlibat.

Menurutnya, kejadian itu kali kedua selepas kawasan itu dilanda ribut teruk pada 2014.

“Kemungkinan jumlah rumah yang terjejas adalah lebih tinggi daripada 100 kerana kita hanya membuat kiraan awal,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kejadian itu dan menghulurkan bantuan.