Walaupun tiada data teknikal baharu dikemukan di dalam laporan setebal 1,500 muka surat itu, namun penjelasan ketua penyiasat, Datuk Kok Soo Choon ketika sidang akhbar diadakan agak sukar untuk ditolak ketepi.

Antara lain, Soo Choon menjelaskan, dapatan pasukan penyiasat bahawa 'tindakan berpatah balik pula berkemungkinan dilakukan ketika pesawat itu berada di bawah kawalan manual bukan autopilot', sebenarnya merupakan satu penerangan kukuh bahawa pesawat bukan dibawah kawalan automatik, tetapi dalam kawalan individu yang belum dikenal pasti.

Ditambah lagi dengan penyataan 'kemungkinan campur tangan oleh sebuah pihak ketiga juga tidak boleh ditolak' boleh difahamkan sebagai tidak menolak kemungkinan bahawa pesawat tersebut dirampas sewaktu dalam penerbangan.

Penjelasan yang diutarakan oleh pasukan penyiasat semalam sekaligus menunjukkan hanya ada dua teori punca kejadian yang relevan untuk difikirkan iaitu:

1) Pesawat mengalami masalah teknikal yang amat teruk,

2) Paling kontroversi, pesawat dirampas. Teori ini merupakan teori yang paling kontroversi kerana bukan sahaja melibatkan perlakuan jenayah tetapi juga emosi semua yang terlibat.

Oleh kerana itu, ia amat jarang dibincangkan secara terbuka dalam kalangan khalayak kerana sensiviti ini.

Selepas era 9/11, di mana tiga buah kapal terbang dirampas lalu digunakan sebagai 'senjata pemusnah' bagi melanggar bangunan Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon di Amerika Syarikat, keselamatan kapal terbang makin diperketatkan, daripada aspek anak kapal, kakitangan penyelenggaraan, penumpang hinggalah ke aspek teknikal pesawat.

Antaranya, memperkuatkan pintu masuk ke ruangan kokpit, mengetatkan SOP kebenaran masuk individu ke kokpit, hinggalah meletakkan anggota keselamatan yang dikenali sebagai Air Marshal yang menyamar sebagai penumpang.

Kesemua aspek keselamatan ini jika dipatuhi, peluang bagi orang yang tidak dikenali untuk masuk ke kokpit adalah kosong peratus.

Untuk memahami isu rampasan, motif merupakan perkara utama yang perlu dikenal pasti, sama ada disebabkan ideologi dan/atau psikologi.

Dalam kes MH370, siasatan terhadap juruterbang, pembantu juruterbang dan anak kapal telah dijalankan, dan menurut pasukan penyiasat tiada 'red flag' ditemukan.

Jadi, suspek yang tinggal hanyalah 227 penumpang yang terdiri daripada 14 buah negara, dengan warga China yang teramai iaitu 153 orang.

Teori yang paling popular dalam kalangan khalayak adalah pesawat mengalami masalah teknikal yang amat teruk, menyebabkan anak kapal tidak mampu mengawal pesawat itu lagi.

Berdasarkan data yang dikemukakan, iaitu dari kegagalan alat perhubunganan hinggalah kehilangan isyarat navigasi, semuanya menjurus terhadap kegagalan teknikal yang amat teruk.

Bagi mana-mana pesawat terbang dan kapal di lautan, api merupakan musuh utama yang jika tidak dikawal, mampu menjatuhkan kapal terbang, dan meneggelamkan kapal.

Dalam kes MH370, perincian barangan kargo menjadi aspek paling utama penyiasatan, dengan suspek utama pencetus musibah ini telah dikenal pasti sebagai bateri ion lithium.

Bateri ini berupaya untuk menghasilkan haba walaupun dalam keadaan tidak digunakan, dan dikhuatiri mampu mencetuskan kebakaran kecil yang jika tidak dikawal boleh merebak dan menyebabkan insiden yang lebih besar.

ICAO sendiri menyedari potensi bateri ini sebagai pencetus malapetaka, dan mulai 1 April, 2016, badan dunia ini mengeluarkan larangan bateri ion lithium sebagai kargo pesawat penumpang, dan hanya boleh dibawa oleh pesawat kargo berkuat kuasa serta merta.

Insiden MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlaku pada 8 Mac 2014, dua tahun sebelum arahan ini dikeluarkan.

Sebab utama kejadian ini hanya akan dapat dipastikan apabila bangkai pesawat berjaya ditemukan. Oleh kerana itu, laporan-laporan yang dibentangkan oleh pasukan penyiasat setakat ini hanyalah bersifat interim, atau lebih dianggap sebagai perkongsian maklumat yang belum muktamad.

Laporan penuh yang dibentangkan semalam, bagaimana pun, tidak disambut dengan baik oleh para waris mangsa, dengan ada yang meluahkan kekecewaan mereka dengan terbuka. Reaksi yang sama turut diperoleh dari waris mangsa warga China, dengan ada yang mendakwa bahawa insiden ini merupakan satu konspirasi politik melibatkan Malaysia, dan semua mangsa didakwa masih hidup.

Di mana bangkai MH370 masih menjadi soalan cepu emas buat semua. Memetik kata-kata Timbalan Menteri Pertahanan Australia, Air Marshal Mark, “We’re not searching for a needle in a haystack. We’re still trying to define where the haystack is.” (Kita bukan cuba mencari jarum di dalam longgokan jerami, tetapi masih cuba untuk mencari longgokan jerami yang mana). - UTUSAN ONLINE