Insiden pertama berlaku semasa anggota polis, Koperal Narizan Yahya, 54, yang menunggang motosikal berseorangan dipercayai dilanggar lari oleh sebuah kenderaan, kira-kira pukul 1 pagi, mengakibatkannya meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tidak lama selepas itu, seorang lagi anggota polis wanita berusia 29 tahun yang memandu sebuah kereta Perodua Viva melalui jalan tersebut yang gelap dan tiba-tiba ternampak kelibat mangsa terbaring di tengah jalan sebaik sahaja menghampirinya sebelum mengelak.

Berikutan itu, anggota wanita berkenaan yang bertugas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri terbabas lalu melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

Kedua-dua mangsa yang terlibat dalam kemalangan berkenaan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis daerah, Superintenden Nanda Maarof ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu yang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - UTUSAN ONLINE