Mujur tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dalam kejadian tersebut kerana melibatkan stor penyimpanan barang Jabatan Patologi di bangunan dua tingkat itu.

Pujian harus diberikan ke­pada warga HKL kerana bertindak pantas memindahkan segera pesakit dari bangunan berdekatan ke kawasan selamat bagi mengelak sebarang kejadian buruk berlaku.

Kejadian itu mengimbas kem­bali tragedi kebakaran wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor pada 25 Oktober 2016 yang mengorbankan enam pesakit, selain tiga kakitangannya cedera akibat kapasitor lampu di wad tersebut.

Melihat kepada dua senario itu, sistem pendawaian elektrik merupakan punca berlakunya kebakaran di hospital kerajaan.

Menurut Pensyarah Ke­selamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Malaysia Pahang, Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Idris, bangunan-bangunan hospital kerajaan yang dibina lebih 50 tahun perlu lebih kerap dilakukan pemeriksaan terutama sistem pendawaian elektrik.

Katanya, pelbagai punca­ boleh berlaku yang menye­babkan litar pintas sehingga membawa kebakaran di sesebuah bangunan.

“Pemeriksaan lima atau 10 tahun perlu dilakukan oleh konsultan bertauliah ke atas bangunan terbabit terutama melibatkan pendawaian elektrik.

“Perkara itu penting supaya tidak berlaku litar pintas terhadap mana-mana bangunan termasuk hospital kerajaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohd. Fadzil, audit keselamatan bangunan harus dilakukan secara berkala supaya tiada kecacatan atau kea­daan yang boleh mengundang kebakaran.

“Tidak kira sama ada bangunan itu baharu atau lama, audit keselamatan kebakaran perlu bagi mengelakkan kecelakaan yang boleh mengundang risiko nyawa manusia,” katanya.