Kru warga tempatan JBB Rong Chang 8 ditemukan
Mohd. Akasha Azizan

Ini berikutan mayat yang ditemukan pada 19 Jun lalu disahkan sebagai Mohd. Akasha Azizan, 25, hasil ujian Asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, di sini.

Abang mangsa, Azral, 37, berkata, mereka sekeluarga lega dan bersyukur dengan pengesahan tersebut biarpun terpaksa menerima hakikat Mohd. Akasha meninggal dunia dalam tragedi itu.

“Kami sekeluarga sangat bersyukur apabila DNA disahkan selepas mayatnya ditemukan pada 19 Jun lalu. Kami sepakat membawa jenazah ke Tandop, Alor Setar untuk dikebumikan di sana,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HPSF awal pagi tadi.

Terdahulu, jenazah Mohd. Akasha dibawa keluar menaiki van kira-kira pukul 2.30 pagi untuk menuju ke Alor Setar selepas urusan memandi dan mengkafankannya selesai.

Pada 21 Mac lalu, sebuah kapal korek pasir JBB Rong Chang 8 yang membawa 16 kru warga China, masing-masing seorang warga Indonesia dan Malaysia dilaporkan terbalik di Perairan Parit Jawa, di sini. -UTUSAN ONLINE