Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Herianto Ramli (gambar), 53, dari Singkawang, Indonesia gagal dikesan selepas ditugaskan memeriksa kipas kapal yang rosak.

Penolong Pengarah Ope­rasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, kapal Ocean Glory tersebut mengalami kerosakan sebelum kaptennya menyuruh seorang kru kapal melakukan pemeriksaan.

Menurutnya, selepas melakukan pemeriksaan, kru kapal itu kemudian naik semula ke atas sebelum kapten berusia 43 tahun berkenan menghidupkan enjin kapal.

“Setelah menghidupkan enjin kapal itu, salah seorang kru ternam­pak kesan darah di atas permukaan sungai di situ dan memaklumkan kepada kaptennya.

“Kapten kapal kemudian membuat pemeriksaan ke atas semua kru kapal lantas mendapati mangsa tidak berada di atas kapal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ujar Ling Hii, kapten kapal itu mengesyaki mangsa telah turun dan tanpa disedari terkena kipas semasa enjin kapal dihidupkan.

“Pihak bomba dimaklumkan mengenai kejadian pada pukul 11.17 pagi dan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya diketuai Komander Operasi, Faisal Saari sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat. Setakat pukul 3 petang ini, mangsa belum ditemukan,” tambahnya.