Pengerusinya, Abd. Rahaim Md. Isa berkata, kos pembinaan sekolah tersebut sebanyak RM30,000, manakala selebih­nya untuk membeli buku dan peralatan lain seperti meja dan kerusi.

“Sekolah ini juga akan dijadikan madrasah kepada kira-kira 50 anak orang kampung yang tidak ada tempat untuk belajar selepas sekolah mereka roboh akibat gempa tersebut.

“Pembinaan sekolah yang dilakukan secara bergotong-royong oleh orang kampung ini dijangka dapat disiapkan dalam masa seminggu,” katanya selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada ketua kampung berkenaan, Sunarap Ahmad Kemar.

Selain beberapa ahli KRS Mus­leh, delegasi misi kemanusiaan ke Lombok selama tiga hari yang berakhir kelmarin diketuai Pengerusi MyCare Johor, Dr. Mohd. Zin Kandar.

Yang turut serta ialah Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam dan Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor.

Abd. Rahaim yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pendidikan Ikram berkata, pihak­nya turut memberi sumbangan sebanyak RM1,000 bagi pembinaan semula Masjid Al-Munawarah di Kampung Sembalun yang terletak di kaki Gunung Rinjani.

“Walaupun jumlah sumba­ngan ini tidak seberapa, namun diharap dapat membantu penduduk kampung membina masjid yang baharu demi ke­selesaan mereka.

Sementara itu, Mohd. Zin berharap lebih ramai akan menyumbang bagi membantu rakyat di Lombok membina semula kehidupan mereka selepas terjejas akibat gempa pada 29 Julai dan 5 Ogos lalu.

“MyCare akan terus menghulurkan bantuan dan sumbangan yang diperlukan oleh penduduk Lombok yang terjejas.

“Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkannya ke dalam akaun MyCare,” katanya. – UTUSAN