Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu berlaku apabila kren yang sedang mengangkat tiang di kawasan tinggi dalam kawasan pembinaan tersebut hilang imbangan dan jatuh merentangi laluan utama MRR2.

“Kren tersebut menutupi dua daripada tiga lorong MRR2 menghala ke Ampang. Keadaan ini menyebabkan gangguan trafik yang teruk.

“Pihak konsultan dan kontraktor projek kemudian mendapatkan kren kedua bagi membuat pengalihan halangan di lokasi itu. Setakat pukul 5 petang, operasi mengalihkan kren masih berjalan dan pengguna jalan raya masih lagi menggunakan satu lorong dengan dikawal anggota polis trafik,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Timbalan Penguasa Bomba Ariff Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.12 pagi dan sebuah jentera dengan enam anggota diarahkan ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba, kita dapati pemandu kren, Azri Yahya, 36, telah keluar dari bahagian pemandu kren namun mengalami kece­deraan di pinggang. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Katanya, setakat ini tiada laporan orang awam terbabit dalam kejadian tersebut.