Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata, pihaknya mengagihkan bara­ngan seperti tilam, bantal, selimut, susu bayi, lampin pakai buang dan alatan kebersihan diri kepada mangsa terlibat.

Menurutnya, sebanyak 10,000 tilam serta 20,000 bantal disedia­kan bagi membolehkan mang­sa menggantikan kelengkapan mereka yang rosak akibat banjir besar Sabtu lalu.

“Hari ini kita gerakkan 20 kontena dahulu untuk bawa bekalan barangan seperti bantal, selimut dan tilam untuk kegunaan mang­sa banjir di pusat-pusat pemindahan sementara ini.

“Baki 20 kontena lagi akan dihantar esok ke pusat pemindahan di kawasan yang terjejas teruk seperti di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU),” katanya kepada pemberita ketika melawat pusat penempatan banjir di Dewan Banjir Guar Jering, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid dan Pengerusi KP1M negeri, Ahmad Yakqub Nazri.

Abdul Azeez turut meluangkan masa meninjau sendiri keadaan Kampung Terus yang terletak berhampiran dan bertemu dengan salah seorang penduduk Ramlah Awang, 73, yang membersihkan rumahnya seorang diri.

Jelasnya, bantuan yang di­sam­paikan itu dibuat tanpa mengira batasan politik kerana menjadi tanggungjawab pihak­nya untuk membantu mangsa yang terlibat di negeri ini.

Menurutnya, selain sumba­ngan, sukarelawan KP1M juga akan membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa di kawasan yang telah dikenal pasti.

“Kita faham kesulitan yang dihadapi mangsa banjir ini terutama dalam fasa pasca banjir jadi kita gerakkan hampir 500 sukarelawan untuk sama-sama berganding bahu,” ujarnya.