Meninggal
Anggota bomba menurunkan mayat Mohamad Zakery yang meninggal ketika menjalankan kerja di menara pencawang telekomunikasi di Hulu Terengganu semalam.-UTUSAN

Mangsa, Mohamad Zakery Zainul Abidin, 39, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah dikatakan menjalankan kerja di menara itu pada pukul lima petang bersama dua lagi rakan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat menjalankan operasi menurunkan mangsa bermula pada pukul 9 malam selepas menerima laporan daripada rakan mangsa.

"Ketika kejadian, mangsa dikatakan naik ke platform paling atas pada ketinggian 76 meter sebelum tali pinggang keselamatan yang dipakainya terjatuh  kei platform dua.

"Mangsa kemudiannya turun ke platform dua yang berada pada ketinggian 42 meter dan rakan mangsa yang naik untuk membantu, mendapati mangsa dalam keadaan lemah," katanya di sini hari ini.
 
Jelas Mohd. Adli, rakan mangsa cuba untuk memberi bantuan kecemasan namun Mohamad Zakery didapati tidak sedarkan diri.

Katanya, operasi membawa turun mangsa dari menara tersebut tamat pada pukul 10.07 malam, dan setelahkan meninggal dunia, mayat mangsa  dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat.

"Punca sebenar kematian masih belum dikenal pasti dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut," ujarnya.-UTUSAN ONLINE