Dalam kejadian kira-kira pukul 12.01 pagi itu, mangsa, Konstabel Mohamad Azreen Anuar, 27, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Suprintenden Ruslan Abdullah berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian itu berlaku apabila kereta terbabit yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun dari arah Klang menghala ke Teluk Intan itu dikatakan hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang motosikal mangsa jenis Honda EX5.

“Bagaimanapun, pemandu terbabit kemudiannya terbabas ke bahu jalan dan melanggar dua lagi mangsa pejalan kaki masing-masing berusia 19 dan 37 tahun berhampiran laluan berkenaan.

“Anggota polis terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian. Salah seorang pejalan kaki yang berusia 19 tahun pula cedera di bahagian kaki manakala rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ruslan, pemandu terbabit semasa kejadian dipercayai melarikan diri selepas kejadian itu memandangkan dia tidak dikesan berada di lokasi kejadian selain tidak membuat laporan polis.

“Bagaimanapun, kita berjaya menahan pemandu terbabit pada petang ini. Hasil pemeriksaan air kencing kita dapati pemandu terbabit yang berasal dari Sekinchan itu positif dadah jenis ekstasi,” katanya yang turut memaklumkan pihaknya akan memohon perintah reman ke atas pemandu terbabit bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengulas lanjut, Roslan memberitahu Mohamad Azreen berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia sejak 12 April 2012 itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke Berek Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor. - UTUSAN ONLINE