Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zainudin Mohd. Ali berkata, kebakaran melibatkan Unit Farmasi di klinik tersebut.

“Pemeriksaan mendapati hanya Unit Farmasi mengalami kerosakan dan tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zainudin memberitahu, ekoran kejadian itu, perkhidmatan Klinik Kesihatan Tampin akan dipindahkan sementara waktu ke Klinik Pakar di Hospital Tampin sehingga kerosakan dapat dibaik pulih.

“Semua pesakit yang memerlukan rawatan pesakit luar dan yang datang berkala boleh mendapatkan rawatan di Hospital Tampin berkuat kuasa hari ini sehingga dimaklumkan kemudian,” ujarnya.

Beliau berkata, sebarang pertanyaan melibatkan rawatan pesakit, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Tampin menerusi talian 06-4411643.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan ketika dihubungi berkata, laporan penuh siasatan kebakaran itu dijangka siap dalam tempoh dua minggu. - UTUSAN ONLINE