Premis yang beroperasi sejak tahun 2008 itu, difahamkan baru sahaja menerima 100 buah kontena stok karpet yang belum dipotong beberapa hari lalu dengan sebahagiannya adalah untuk jualan sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Pemilik kilang yang mahu dikenali sebagai Ramesh memberitahu, biarpun kebakaran itu memusnahkan keseluruhan kilang tersebut, dia masih bernasib baik kerana 48 pekerjanya berjaya menyelamatkan diri.

“Saya bergegas ke kilang sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kebakaran itu semalam. Pelbagai usa­ha telah kami lakukan untuk memadamkan kebakaran termasuk menggunakan alat pemadam api, namun tidak berjaya.

“Api marak dengan cepat dan kami tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui lokasi pe­madaman api di Nilai 3, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian, pada pukul 6.50 petang semalam, kilang karpet Prima itu terbakar melibatkan keseluruhan bangunan berkeluasan 1,726.2 meter persegi, yang menempatkan pejabat dan ruang pameran.

Kilang itu turut menghasilkan dan mengedar karpet untuk pasaran tempatan serta dieksport ke luar negara.

Dalam pada itu, Timbalan Pe­ngarah Bomba dan Penyelamat negeri, Johari Ahmad berkata, pihaknya mengambil masa lebih 15 jam untuk memadam api di keseluruhan ruang premis ber­kenaan.

Sebanyak 84 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mantin, Seremban, Senawang, Se­remban 2, Rembau, Teluk Kemang terlibat dalam operasi pemadaman dengan dibantu oleh pasukan dari Balai Bomba Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur dan Bangi serta Cyberjaya, Selangor.

“Sehingga pukul 11 pagi tadi api berjaya dipadamkan sepenuhnya tetapi belum dapat memasuki kilang berkenaan kerana bimbang struktur besi bangunan runtuh.

“Anggota perlu berhati-hati ketika menghampiri timbunan karpet yang terbakar itu,” katanya sambil memberitahu punca kejadian masih disiasat.