Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, mangsa, Nordin Ab. Rashid, 55, yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke tempat kerjanya di Bandar chiku maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 dikatakan berlanggar dengan sebuah kereta jenis Proton Saga yang keluar dari sebuah simpang untuk ke bandar ini.

Bagaimanapun, katanya, pemandu kereta tersebut yang berusia lingkungan 60-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kereta tersebut tiba-tiba keluar dari simpang tiga RKT Sungai Asap B menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal terlanggar kenderaan itu dan terjatuh di atas jalan raya.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, isteri mangsa, Naemah Abdul Wahab , 48, berkata, kejadian itu amat mengejutkan kerana suaminya yang baharu sahaja dinaikkan pangkat awal bulan ini tidak menunjukkan sebarang perubahan. “Suami saya gembira selepas dinaikkan pangkat daripada jawatan pembantu tadbir kepada ketua kerani.

“Namun,arwah hanya dapat merasai kenaikan pangkat itu tak sampai sebulan selepas berlaku kemalangan itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE