NOOR MUSHAR MOHD.
NOOR MUSHAR MOHD. 

Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. berkata, berikutan itu, punca kematian kesemua mangsa tersebut masih belum dapat dipastikan.

Katanya, walau bagaimanapun pemeriksaan patologi terhadap fizikal kesemua si mati tidak menemukan sebarang kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh luaran mereka.

“Bedah siasat telah dilakukan oleh Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, semalam.

“Tiada sebarang kesan lebam, pukulan atau tikaman ditemukan pada tubuh kesemua mangsa. Punca kematian belum dipastikan dan menunggu analisis Jabatan Kimia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan tiga mayat sekeluarga dipercayai mati lemas ditemukan di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat.

Mayat pertama, Norzalina Baharom, 35, ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan terapung di Sungai Arau, Kampung Belat Batu di sini, kira-kira pukul 9 pagi.

Tidak lama selepas itu, mayat kedua iaitu Norma Pin, 64, ditemukan oleh orang awam di Sungai Tambun Tulang di sini iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi penemuan mangsa pertama.

Tiga jam kemudian iaitu kira-kira pukul 12 tengah hari, mayat suami kepada Norma, Baharom Ahmad, 66, pula ditemukan di pintu tali air B, Sungai Tambun Tulang berhampiran Kampung Che Ok, Simpang Empat.

Berikutan itu, pasukan penyelamat mempergiatkan usaha mencari Mohd. Zali yang dikatakan bersama keluarganya itu berdasarkan kepada penemuan kad pengenalan kesemua empat individu itu di lokasi mayat pertama ditemukan.

Walau bagaimanapun kejadian itu menimbulkan misteri apabila lelaki yang disangka mati lemas bersama-sama ahli keluarganya, dijumpai masih hidup di Sungai Petani, Kedah, kira-kira pukul 10 malam. - UTUSAN ONLINE