Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, kerjasama berkenaan bukan saja melibatkan pertukaran maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan, malah turut meliputi bidang ekonomi dan mengesan mangsa lemas.

“Kerjasama yang dilakukan sebelum ini ternyata telah membuahkan hasil apabila agensi penguat kuasa Thailand turut membantu kita dalam mengesan dua remaja lelaki yang lemas di pantai Tok Bali Ahad lepas.

“Mereka membantu kita selepas menerima permohonan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang berlangsung pada minggu lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga Rafar Mamat, 53, bapa kepada Amir Azhar, 13, dan Anizan Ramli, 50, bapa kepada mangsa Ahmad Haziem, 14, yang kehilangan anak mereka selepas lemas ketika mandi di Pantai Tok Bali di sini Ahad lepas.

Mayat Amir Azhar ditemui pukul 9.30 malam Jumaat lepas manakala mayat Ahmad Haziem, 14, ditemui jam 10.30 pagi semalam, jarak kedua-dua mayat itu ditemui kira-kira lima kilometer.

Kedua-dua mayat mangsa ditemui oleh penduduk dan Polis Diraja Thailand terdampar di Pantai Belawang, Narathiwat.

Shahidan berkata kerajaan turut menghargai peranan 200 anggota pelbagai agensi keselamatan yang bertungkus-lumus mencari mangsa meliputi kawasan seluas 670 kilometer.

Jenazah Amir Azhar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Berangan, manakala Ahmad Haziem di Tanah Perkuburan Islam Marbol di sini hari ini. - BERNAMA