Hujan lebat yang bermula kira-kira pukul 3 petang itu menyebabkan air naik dengan cepat sehingga kedalaman 0.5 meter di laluan itu. 

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kenderaan yang terkandas itu dipercayai cuba meredah laluan tersebut menyebabkan terpaksa ditunda ke tepi jalan selepas tersangkut di dalam air.

Beberapa penunggang motosikal juga memberanikan diri meredah laluan itu biarpun ia berisiko kerana arus air yang deras dan mampu menghanyutkan mereka ke tepi jalan.

Seorang pengguna, Mohd. Ariff Abdullah berkata, laluan itu sering dinaiki air setiap kali hujan lebat akibat sistem perparitan yang tidak sempurna selain berada pada paras rendah.

“Kawasan yang sering dinaiki air adalah sebelum jejantas menuju ke Kawasan Perindustrian Seberang Jaya disebabkan laluan itu rendah dan air sering bertakung.

“Saya harap pihak berwajib memantau kejadian ini kerana ia kerap berlaku setiap kali hujan lebat dan menyebabkan kerugian kepada pengguna lebuh raya," katanya. – UTUSAN ONLINE