Dalam kejadian pukul 11.16 malam itu, kereta jenis Produa Alza tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian kanan hadapan dan kebocoran di tangki minyak.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, setibanya anggota di tempat kejadian, kereta dipandu M. Kesava Rajah, 26, didapati terbabas ke dalam kedai berkenaan sebelum kerusi dan meja makan dialihkan.

Menurut beliau, kejadian tersebut berlaku selepas Kesava Rajah cuba mengelak seorang pejalan kaki sebelum melanggar sebuah motosikal yang diletakkan berhampiran restoran.

“Pemandu berkenaan dari arah Jalan Pangkalan Weld menuju Jalan Kapitan Keling dan gagal mengawal kenderaannya kerana mengelak pejalan kaki sebelum melanggar sebuah motosikal dan terbabas ke dalam kedai.

“Siasatan awal mendapati pemandu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan dia juga mempunyai lesen memandu sah serta tidak mabuk,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Walau bagaimanapun tambah Anuar, kemalangan tersebut tidak melibatkan kecederaan kepada mana-mana pelanggan dan pekerja yang berada di restoran berkenaan pada masa kejadian.

“Kita mengambil keterangan pemandu itu bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE