Insiden berkenaan tular di media sosial sejak semalam yang antaranya memaparkan keluhan netizen dipercayai pemilik kereta berkenaan yang mengalami insiden malang itu ketika berkunjung ke pusat beli belah berkenaan.

Hantaran di media sosial memaparkan kereta mewah jenis BMW, Honda Accord, Toyota Vellfire dan Mercedez dirosakkan dari 6 hingga 7 September lepas.

Dalam pada itu, menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Yazri Ismail, pihaknya menerima satu laporan awal pagi tadi daripada seorang wanita berusia 42 tahun yang mendakwa keretanya dirosakkan ketika diletakkan di kawasan parkir pusat beli belah itu.

“Dalam laporannya, dia menyebut bahawa dia meletakkan kereta di tempat letak kereta pusat berkenaan dan ketika dia kembali ke kereta kira-kira pukul 10 malam, dia mendapati bahawa keretanya disimbah oleh asid.

“Kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Setakat ini, polis hanya menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.

Tambah beliau, polis tidak menolak ia akibat perbuatan khianat dan akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli belah itu.

“Orang ramai yang mengalami situasi yang sama diminta tampil untuk membuat laporan di balai polis bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya. - UTUSAN ONLINE