Menurut Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Tiong Ling Hii, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 1.46 petang ini.

Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dengan kekuatan keseluruhan seramai 11 pegawai dan anggota serta enam orang lagi daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi setelah menerima maklumat itu.

“Jentera pertama tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.14 petang dan mendapati dua mangsa masih terperangkap di dalam kenderaan itu.

“Usaha menarik keluar kenderaan itu dari dasar sungai dijalankan menggunakan ragum besi, sementara menunggu PPDA tiba untuk menjalankan operasi mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini petang ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha itu tidak berjaya berikutan arus deras dengan kedalaman sungai kira-kira lima meter dan jarak tebing ke kereta sejauh 15 meter.

Beliau berkata, PPDA telah turun ke sungai pada pukul 4.01 petang bagi menjalankan operasi pencarian dalam air dan menemukan Gary Nevile sejam kemudian.

Tambahnya, mangsa kedua pula ditemukan pada pukul 5.27 petang.

“Mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 5.37 petang,” katanya. - UTUSAN ONLINE