Dalam kejadian pukul 8.15 pagi itu, Muhamad Hisyam Alimun, 26, dan Fazroazahar Rahim, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala anak saudara kepada Muhamad Hisyam, Airill Sarojini, 8, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan menurutnya kejadian berlaku di laluan lurus dan tidak sibuk dengan kenderaan.

Beliau berkata, ketika kejadian, Muhamad Hisyam dan anak saudaranya dalam perjalanan dari bandar Ketengah Jaya menuju ke bandar Paka manakala Fazroazahar pula dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di kawasan perindustrian Kerteh, Kemaman menuju ke bandar Ketengah Jaya.

Setiba di tempat kejadian, kereta jenis Proton Satria dipandu Muhamad Hisyam dikatakan gagal memotong sebuah kenderaan di hadapan lalu bertembung dengan kereta Honda Civic dipandu Fazroazahar dari arah bertentangan.

“Pemandu Proton Satria tidak sempat mengelak kereta yang datang dari arah depan sebelum kedua-duanya bertembung menyebabkan pemandu Proton Satria maut di lokasi kejadian,

“Sepasukan enam anggota Jabatan Bomba dan Pe­nyelamat Paka mengambil masa 10 minit mengeluarkan pemandu Honda Civic yang tersepit di tempat duduk pemandu," katanya.

Kata beliau, Fazroazahar disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan ketika menerima rawatan di dalam ambulans kerana kecederaan parah yang dialaminya .