Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, dua mangsa disahkan meninggal dunia dikenal pasti sebagai Luk Chung Hee, 48, dan Serafina Forrin Sabbas, 26.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kereta jenis Honda Accord yang dipandu oleh Chung Hee dikatakan dalam perjalanan menuju ke Betong dari arah Sarikei.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta itu tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas ekspres dari Kalimantan Barat, Indonesia.

“Impak kemalangan mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit dan mengalami kecederaan parah pada anggota badan mereka.

“Namun, pemandu bas ekspres bersama 14 penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.

Tambahnya, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku akibat kecuaian pemandu Honda Accord yang memasuki laluan bertentangan tanpa menyedari kehadiran sebuah bas di laluan berkenaan.

“Keadaan jalan di tempat kejadian adalah berselekoh dan tiada lampu jalan.

“Mayat kedua-dua mangsa sudah dibawa ke Hospital Saratok untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE