Dalam kejadian pukul 8.22 pagi itu, mangsa, Nor Zurita Shah Kadir, 27, bersama dua lagi anaknya Muhammad Adam Mukhriz Adnan, 5, dan Siti Husna Qaisara Adnan, 4, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Suzaimi Mohamad berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Jeli ke Tanah Merah.

Kereta bawa daun ketum rempuh tiga beranak sehingga mati
MAYAT salah seorang mangsa yang tercampak dalam semak. - UTUSAN ONLINE/Gambar media sosial

Katanya, ketika tiba di selekoh tempat kejadian, sebuah kereta jenis Proton Wira yang datang dari arah bertentangan dipercayai telah hilang kawalan sebelum merempuh mangsa.

“Kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan berdasarkan kesan brek di atas jalan bermula dari laluannya hingga ke laluan bertentangan.

“Akibat rempuhan itu, ketiga-tiga mangsa terpelanting ke dalam semak di sebelah kiri jalan menghala ke Jeli,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Suzaimi berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta Wira tang dipandu warga Thailand itu, turut menjumpai beberapa bungkusan hitam.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita telah menemukan 150 kilogram daun ketum di dalam bonet belakang kereta terbabit,” katanya.

Tambah beliau, kes ini akan di siasat di bawah seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang akan di siasat oleh Pihak Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerag (IPD) Tanah Merah.

“Manakala satu lagi kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) APJ 1987,” katanya. - UTUSAN ONLINE