Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman berkata, langkah itu bagi mengatasi masalah banjir yang telah berlarutan sejak empat tahun lalu di kawasan itu.

Menurutnya, peruntukan tersebut telah diluluskan Kerajaan Pusat sebelum ini, bagaimanapun ditangguhkan kerajaan baharu bagi tujuan penilaian dan kajian semula.

“Melihat kepada keperluan mendesak, ia perlu dipercepatkan kerana masalah ini telah menjejaskan penduduk di kira-kira 10 kampung di kawasan berkenaan termasuk di Kampung Rampayan, Kampung Delima, Kampung Telipok dan Taman Bukit Sepanggar.

“Kita meminta agar perkara ini dipandang serius baik di peringkat kerajaan negeri mahupun Pusat dan perlu tindakan segera kerana benar-benar menjejaskan rakyat sekali gus mengakibatkan mereka mengalami kerugian harta benda serta terdedah kepada ancaman keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat beberapa lokasi banjir di sekitar Sepanggar malam tadi.

Yang turut hadir Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Azhar Matussin; ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe dan ADUN Inanam, Kenny Chua.

Sementara itu, Boon Hai berkata, semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan perlu menzahirkan kerjasama penuh dalam menyelesaikan isu tersebut.

“Buat masa ini, kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab ini kepada satu pihak tertentu sahaja sebaliknya kerjasama amat diperlukan khususnya semua yang terlibat.

“Selain itu, rancangan projek berkenaan amat diperlukan dan patut disegerakan bagi menyelesaikan masalah banjir untuk jangka masa panjang,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE