Gesaaan itu dibuat beberapa pemimpin persatuan penduduk Tanjung Bungah di sini yang melahirkan rasa hairan bagaimana projek pembangunan boleh diluluskan di kawasan berisiko dan berbahaya.

Wakil Persatuan Penduduk Tanjung Bungah, Dr. Kam Suan Pheng mendakwa, tragedi kelmarin adalah jelas merupakan runtuhan tanah di lereng bukit yang ditarah pemaju.

Menurut beliau, sekiranya garis panduan pembangunan di kawasan lereng bukit dan kawasan berisiko dipatuhi, projek sedemi­kian mustahil diluluskan kerana faktor risikonya kepada penduduk.

“Banyak daripa­da pe­ma­ju ini, di­sebabkan mahu men­dapatkan kelulusan projek di lereng bukit, mereka memotong bukit supaya menjadi rata.

“Akibatnya, struktur ta­­­­nah terganggu dan sebab itu meskipun beberapa minggu lalu tidak ada hujan di negeri ini dan keadaan cuaca juga panas terik ketika ini, tragedi tanah runtuh boleh berlaku disebabkan pencerobohan kawasan bukit,” dakwanya.

Sementara itu, seorang lagi wakil persatuan penduduk Tanjung Bungah, R. Meenakshi berkata, siasatan berhubung tragedi tanah runtuh tersebut tidak wajar hanya terarah kepada pihak pemaju semata-mata.

Sebaliknya, kata be­liau, siasatan perlu bermula dari peringkat Jawatankuasa Perancang Negeri yang memberi kelulusan kepada semua projek di lereng bukit serta Jawatankuasa Pusat Sehenti (OSC) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang meluluskan projek itu.

“Selain itu, para jurutera yang sepatutnya memantau projek tersebut, pe­maju dan kontraktor yang terbabit juga perlu bertanggungjawab kerana tragedi seperti ini boleh dielakkan sekiranya mereka memahami risiko pencerobohan kawasan bukit,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohiden Abdul Kader menggesa seluruh penduduk negeri ini memberi tekanan kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya lebih bertanggungjawab dalam isu tersebut.

Katanya, penduduk perlu mempersoalkan pemimpin kerajaan negeri serta wakil rakyat mereka sama ada mewakili rak­yat yang memilih mereka ketika pilihan raya umum lalu atau be­kerja untuk pihak pemaju.

“Bagi pihak NGO kita tanpa berhenti membangkitkan kebimbangan mengenai aktiviti pembangunan di lereng bukit ini dan nampaknya suara kami tidak dipedulikan,” katanya.