Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kesemua waris telah menyerahkan DNA masing-masing dan kini sedang menunggu keputusan yang dijangka keluar selewat-lewatnya pukul 3.30 petang esok.

Ujarnya, sebaik sahaja proses tersebut selesai, pengebumian kesemua mangsa akan dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Jalan Kuala Lumpur- Karak di sini.

“Sebahagian besar mangsa akan dikebumikan di sana (Raudhatul Sakinah) manakala beberapa lagi mangsa akan dikebumikan mengikut kehendak waris.

“Kita masih belum dapat memastikan berapa jumlah sebenar mangsa yang akan dikebumikan di situ memandangkan proses DNA masih belum selesai,” katanya ketika ditemui di pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jamil Khir memberitahu, pihak kerajaan juga menyediakan penginapan kepada keluarga waris di dua hotel di ibu negara.

Jelasnya, dua penginapan tersebut membabitkan Hotel Grand Season dan Hotel Putra di sini.

“Jadi kesemua waris dibenarkan pulang ke penginapan masing-masing sementara menunggu keputusan esok,” jelasnya.