Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, berdasarkan laporan, apabila pesawat dengan nombor pendaftaran 9M-TST itu terbang rendah dan mendekati tempat pendaratan, pihak pekerja-pekerja kontrak telah menyedari bahawa terdapat pesawat akan mendarat setelah ternampak lampu pendaratan mendekati mereka.

Khuatir dengan keselamatan mereka, menurut Anthony, ketiga-tiga pekerja kontrak terus menaiki kenderaan mereka dan bergerak menjauhi kawasan landasan.

“Ketika membuat pusingan 180 darjah, pemandu kenderaan menyedari kenderaan pengiring yang dipandu mangsa masih statik di posisi yang sama. Berdasarkan keterangan saksi, mereka telah memancarkan lampu tinggi beberapa kali untuk menarik perhatian kenderaan pengiring berkenaan.

“Tiada respon dilihat dari kenderaan pengiring itu dan ketika pesawat itu mendekati mereka, pemandu kenderaan kontrak telah memandu kenderaanya menjauhi landasan dan berhenti di taxiway Foxtrot untuk memberi laluan kepada pesawat untuk mendarat,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Anthony, berdasarkan saksi, kerusi pemandu pada kenderaan pengiring terlibat telah diturunkan tetapi bagaimanapun menegaskan, adalah tidak adil untuk membuat kesimpulan awal bahawa mangsa sedang tidur ketika kejadian berlaku.

Beliau turut memberitahu bahawa dua kakitangan Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) yang bertugas pada malam kejadian telah digantung tugas sehingga siasatan selesai.

Media pada 18 Mac lalu melaporkan bahawa seorang lelaki cedera parah selepas kereta unit kejuruteraan lapangan terbang yang dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah pesawat persendirian di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam satu kenyataan memberitahu, pengendali lapangan terbang itu sudah menubuhkan pasukan siasatan khas yang akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk mengenal pasti punca kejadian.

Pada keesokan harinya, lelaki itu telah disahkan meninggal dunia ketika menjalani rawatan di sebuah hospital di ibu kota.

Sementara itu, Anthony berkata, laporan awal insiden tersebut mendapati, kru udara yang terlibat dalam insiden berkenaan memiliki lesen sewajarnya dan pendaratan pesawat telah dilaksanakan secara sah selepas memperoleh kebenaran mendarat daripada Menara ATC Subang.

Laporan itu katanya, juga mendapati syif berehat (break shift) hanya melibatkan seorang pegawai trafik udara bertugas selepas waktu tengah malam hingga 6.30 pagi.

“Siasatan secara keseluruhan akan dijalankan berhubung proseudur operasi standard (SOP) bagi komunikasi antara menara kawalan dan kenderaan penyelenggaraan menggunakan walkie talkie berbanding komunikasi radio berfrekuensi tinggi (VHF).

“Siasatan mendalam berkenaan SOP bagi kenderaan yang beroperasi di landasan akan dijalankan terutama bagi peralatan khas yang perlu ada di kenderaan apabila ia memasuki landasan seperti alat komunikasi radio dan lampu isyarat berputar (rotating beacon),” katanya. - UTUSAN ONLINE