JOHOR BAHRU 19 Mei – Seorang remaja lelaki meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini malam tadi akibat kencing tikus (leptospirosis) dan kegagalan organnya berfungsi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, remaja berumur 18 tahun itu meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah malam.
“Saya dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan negeri bahawa remaja lelaki berasal dari pekan Nanas, Pontian itu disahkan meninggal dunia setelah tiga hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA.
“Dikatakan bahawa dia ada mengunjungi Air Terjun Gunung Pulai pada April lalu dan pada awalnya, dia mengalami sakit perut, selesema, demam selama tiga hari serta lemah anggota badan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ayub, Jabatan Kesihatan negeri kini dalam proses siasatan bagi mengenal pasti pergerakan mangsa sebelum dia dimasukkan ke hospital.
Katanya, Jabatan Kesihatan negeri sudah mengarahkan Air Terjun Gunung Pulai 1 ditutup selama dua minggu berpunca daripada persekitaran yang kotor untuk membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
Sehubungan itu, beliau menasihati semua pengunjung mana-mana air terjun atau pusat rekreasi sekitar April dan bulan ini untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital dan klinik kesihatan dengan kadar segera.