Sehubungan itu, pensyarah geologi Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Tajul Anuar Jamaluddin menasihatkan rakyat Malaysia untuk tidak mengunjungi Indonesia sehingga keadaan benar-benar stabil.

Jelas beliau, kedudukan Indonesia terutamanya kawasan Lombok dan Bali yang terletak dalam zon Lingkaran Api Pasifik paling aktif dalam dunia memungkinkan berlakunya gegaran susulan secara kerap.

“Gegaran yang dirasai seseorang ketika berlakunya gempa bumi disebabkan oleh gelombang seismos yang bergerak di dalam dan permukaan bumi dengan pembebasan tenaga itu menyebabkan berlakunya gempa bumi.

“Selalunya apabila berlaku gempa bumi berukuran tinggi, amat jarang gempa bumi susulan menghasilkan tenaga lebih kuat. Namun kejadian yang berlaku di Lombok, semalam selepas berlakunya gegaran yang boleh disifatkan tinggi minggu lalu amat merisaukan dan tidak mustahil kejadian akan berulang lagi selepas ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Selepas digegarkan dengan gempa bumi bermagnitud 6.4 skala Richter minggu lalu yang mengorbankan 17 orang termasuk seorang rakyat Malaysia, Siti Nur Ismawida Ismail, Pulau Lombok sekali lagi dikejutkan dengan gegaran lebih kuat iaitu berukuran 7 Skala Richter pada pukul 6.46 petang waktu Malaysia semalam dan turut dirasai di Bali.

Seramai 91 orang dilaporkan terkorban setakat ini dalam kejadian itu yang turut memusnahkan beribu-ribu buah rumah dan bangunan di pulau itu dengan jumlah mangsa terkorban dikhuatiri terus meningkat.

Data Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) pula menunjukkan sebanyak 124 gempa susulan bermagnitud rendah, direkodkan berlaku sehingga pukul 6 pagi ini.

Tambah Tajul Anuar, walaupun berada di luar Lingkaran Api Pasifik, Malaysia juga terdedah kepada bahaya berlakunya gegaran akibat gempa bumi.

“Namun begitu, kita mungkin akan hanya merasa gempa berukuran kecil atau lemah seperti yang berlaku di Janda Baik, Bentong pada 2007 dan gegaran susulan selepas itu,” ujar beliau.