Kementerian itu dalam kenyataannya berkata, kemalangan berkenaan mengorbankan tiga Pensyarah Politeknik Sandakan iaitu, Annie Gideon, Suzanie Stephen Galaut dan Esther Michelle Anak Gunben.

“Dua lagi mangsa yang maut ialah anak kakitangan Politeknik Sandakan iaitu, Abdul Fattah Salehuddin dan suami kepada Ketua Jabatan Pengajian Am Politeknik Sandakan iaitu Mohd. Khaizuzafarin Bedalip.

“Sebanyak 12 orang mangsa masih dirawat di hospital. Bas Politeknik Sandakan itu membawa 40 penumpang dan 20 daripadanya adalah kakitangan politeknik,” kata kementerian itu dalam kenyataannya di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan lima maut apabila bas yang membawa kakitangan Politeknik Sandakan serta ahli keluarga mereka terbabas dan terbalik di kawasan Kampung Surun-Surun Jalan Marak Parak di Kota Marudu.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Mohd. Izaan Abdullah dan difahamkan kejadian itu berlaku ketika bas persiaran berkenaan dalam perjalanan dari Sandakan menuju ke Kudat.

Menurut kementerian itu, pihak pengurusan Politeknik Sandakan telah menghubungi ahli keluarga semua mangsa yang terlibat dalam tragedi itu selain menghulurkan segala bantuan yang diperlukan kepada mereka. - UTUSAN ONLINE