Kejadian yang berlaku pada pukul 11.31 pagi di Kilometer 261.4 itu membabitkan kereta jenis Proton Saga FLX dan Proton Iswara.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata, saksi kejadian memaklumkan kemalangan berlaku apabila dua buah kereta terbabit bertembung di lorong kiri te­rowong sebelum kedua-duanya terbalik masing-masing di lorong kiri dan kanan jalan.

“Semasa petugas PLUS tiba di lokasi kejadian, pemilik dua kenderaan itu telah tiada. Kerja-kerja pembersihan segera dilakukan menyebabkan kedua-dua lorong terpaksa ditutup sementara.

“Operasi mengambil masa kira-kira 35 minit dan dibuka semula pada pukul 12 tengah hari. Penutupan sementara itu menyebabkan aliran trafik sesak lebih empat kilometer,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya me­nerima panggilan kecemasan pada pukul 11.31 pagi.

“Semasa anggota bomba tiba, tiada mangsa di lokasi kemala­ngan dan pemantauan dilakukan bagi memastikan tiada mangsa lain yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Tarmizi Abd. Haq ketika dihubungi berkata, kedua-dua pemandu kereta ter­babit yang berusia 26 dan 43 tahun hanya mengalami kecede­raan ringan dalam kemalangan tersebut dan diberi rawatan di klinik berhampiran.