Sejak kemalangan itu, Mohd Norfainuzuraimi Zulkifli, 22 hanya menghabiskan masa terlantar di atas katil.

“Masuk hari ini sudah empat bulan saya terlantar dan semua kerja-kerja menguruskan diri dibuat sepenuhnya oleh ibu Mariam Jusoh, 49. Selain itu, saya juga terpaksa bergantung kepada bapa Zulkifli Isa, 54.

“Bapa bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Baroh Pial. Dia bantu saya menampung bayaran bulanan motosikal berjumlah RM160 dan rawatan susulan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Baroh Pial di sini hari ini.

Tambahnya, lebih memeritkan lagi, bapanya juga perlu menyara enam lagi adik-beradik yang masih kecil dan bersekolah.

Mohd. Norfainuzuraimi memberitahu, dia bukan sahaja lumpuh malah turut disahkan menghidap penyakit saraf pada kaki kiri.

Menceritakan semula kisah dirinya, pemuda itu memberitahu, dia merantau ke Kuala Lumpur selama dua bulan untuk mencari rezeki dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi membeli sebuah motosikal pada November tahun lalu.

Ujarnya, untuk menjadi seorang pendakwah dia perlu memiliki sebuah kenderaan kerana perkara itu menjadi salah satu syarat bagi mendapatkan tauliah mengajar di masjid dan majlis-majlis ilmu.

“Selepas bekerja selama dua bulan, saya dapat membeli sebuah motosikal secara ansuran. Keesokan harinya selepas membeli motosikal saya membuat keputusan untuk pulang ke kampung bagi mendapatkan tauliah sebagai pendakwah yang sudah lulus.

“Saya pulang ke kampung bersama abang dengan menunggang motosikal secara berasingan. Setiba di Kampung Pelahap, saya telah terlibat dengan kemalangan selepas sebuah lori pasir membuat pusingan U secara mengejut tanpa memberikan sebarang isyarat,” katanya.

Mohd. Norfainuzuraimi berkata, tauliah sebagai pendakwah itu dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan tamat pada Oktober 2023.

Orang ramai yang ingin membantu Norfainuzuraimi boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad 03-054-02-077723-7 atas nama Mariam Jusoh. - UTUSAN ONLINE