Seorang abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Dennis berkata, setiap kali keluarga melihat gambar mangsa yang masih tersepit di dalam kenderaan itu dipaparkan di media sosial, perasaan mereka akan lebih pilu.

"Kami memohon jasa baik warganet untuk berhenti menyebarkan gambar dan video adik kami.

"Setiap kali gambar tersebut kami lihat disebarkan, hati dan perasaan kami amat terluka," katanya ketika ditemui di Taman Kempas di sini hari ini.

Selepas lebih dua hari terjunam ke dalam laut di bawah Jambatan Pulau Pinang, kenderaan SUV Mazda CX-5 yang dipandu Yun Peng  berjaya dinaikkan kira-kira pukul 5.50 petang semalam.

Selain itu, ahli keluarga mangsa berkenaan juga meminta orang ramai agar menghentikan segala spekulasi mengenai kejadian kemalangan tersebut.

"Pihak polis masih jalankan siasatan,  ada yang kaitkan kemalangan berlaku disebabkan perlumbaan namun biarkan polis yang tentukan hal ini," katanya. - UTUSAN ONLINE