MUHAMMAD FAREEZUAN
MUHAMMAD FAREEZUAN

Bapanya, Anuar A. Rahim, 51, dan isteri Juliana Ismail, 40, reda dengan apa yang menimpa Muhammad Fareezuan dan bersedia dengan segala kemungkinan.

Menurut pekerja hotel itu, sebelum kejadian anak kedua daripada lima beradik bersama-sama seorang lagi anaknya, Muhammad Fahim Ikmal, 9, memberitahu mereka mahu ke rumah neneknya.

“Pada mulanya dalam pukul 2 petang semalam, mereka ada cakap mahu ke rumah neneknya yang terletak di sebelah rumah kami, tidak sangka pula dia keluar bermain di sungai terbabit.

“Dua anak saya bersama-sama empat lagi rakannya terdiri daripada dua lelaki dan perempuan berusia antara 9 hingga 15 tahun dikatakan pergi ke sungai berkenaan untuk mandi-manda.

“Ketika kejadian, mereka cuba menyeberangi sungai terbabit namun tiba-tiba datang kepala air sebelum adiknya, Muhamad Fahim hanyut dan abangnya, Muhammad Fareezuan cuba 
menyelamatkan adiknya.

“Muhammad Fahim dapat diselamatkan selepas dia berpaut pada batang besi namun abangnya, Muhamad Farezuan terus hanyut dibawa arus deras,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini sebentar tadi.

Dalam kejadian pukul 3.15 petang semalam, Muhammad Fareezuan pergi mandi-manda bersama-sama adik dan rakanya sebelum dihanyutkan arus deras dan masih hilang hingga kini.

Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih dilakukan dan Utusan Malaysia difahamkan jarak rumah keluarga mangsa di Kampung Sri Makmur dengan lokasi kejadian kira-kira 300 meter.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Syed Nasir Syed Abu Bakar berkata, seramai 40 anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan 
Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Operasi hari kedua hari ini diperluaskan hingga ke lapan kilometer menyUsuri sungai itu dan hingga pukul 1 petang ini mangsa masih belum ditemukan,” katanya. - UTUSAN ONLINE