Rashidah Omar, 32, isteri kepada Mohd. Yusni Mohd. Yusof, 43, melahirkan kebimbangan dengan nasib yang menimpa suami selepas keluar menjaring ikan pada petang kelmarin.

Menurut Rashidah, suaminya turun ke laut bersama-sama sepupunya, Mohd. Khair Ismail, 38, tetapi sebelum tidak menunjukkan sebarang perubahan kerana sudah menjadi rutin harian mencari pendapatan keluarga di laut.

“Saya berharap usaha mencari dan menyelamat akan dapat menemukan Mohd. Yusof serta sepupunya dengan selamat,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Sungai Ayer Baloi di sini sebentar tadi.

Dia yang mempunyai tiga anak berusia empat hingga 15 tahun berkata, biasanya suaminya pergi ke laut pada sebelah petang dan balik semula ke jeti pada keesokan harinya.

Sementara itu, Siti Raihana Ramzaan, 36, isteri kepada Mohd. Khir Ismail bergegas ke sini dari rumahnya di Tampoi, Johor Bahru sebaik sahaja mengetahui kehilangan suaminya.


AHLI keluarga kedua-dua nelayan yang dikhuatiri lemas sedang menunggu dengan penuh harapan supaya kedua-duanya pulang dengan selamat di Jeti Nelayan Sungai Ayer Baloi, Pontian, Johor pagi ini.

Katanya, suaminya sebelum ini berkerja sebagai pemandu lori tetapi berhenti sejak dua bulan lalu dan menjadi nelayan bersama-sama sepupunya itu.

“Kami sekeluarga berdoa agar kerja-kerja menyelamat pada hari ini dapat menemui kedua-dua mereka dengan selamat,” ujarnya yang ditemani ibu mertuanya, Salmah Hamzah, 74.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mustafa Bakri Salleh memberitahu, operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa dimulakan pukul 6 petang semalam sebaik sahaja laporan diterima.

Operasi melibatkan pasukan bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan polis marin dengan dibantu nelayan disambung semula pagi ini selepas ditangguhkan malam tadi.

Katanya, kedua-dua mereka, pergi ke Pulau Pisang menaiki bot fiber untuk menjaring ikan kira-kira pukul 5.30 petang.

“Bagaimanapun, kawan-kawan mangsa telah menemui kelengkapan milik mangsa seperti tabung yang mengandungi telefon. Barang-barang milik mangsa telah diserahkan tengahari semalam,” katanya. - UTUSAN ONLINE