Dalam kejadian kira-kira pukul 5.10 pagi itu, semua persiapan hari raya yang dibeli Zainun Abdul Rahman, 60, bersama suaminya, Jusoh Mohamad, 60, seperti baju raya dan juadah untuk tetamu musnah dalam kebakaran.

Menantu pasangan berkenaan, Hai­rullah Razali, 28, berkata, kejadian tersebut bermula apabila berlaku letupan dapur gas ketika ibu mentuanya sedang menggoreng ayam di dapur untuk membuat lauk nasi minyak.

Menurutnya, sebaik saja letupan itu berlaku, api merebak dengan pantas sebelum dia bergegas mengejutkan ahli keluarganya untuk menyelamatkan diri.

“Saya gagal menyelamatkan bara­ngan berharga termasuk pakaian raya yang hendak dipakai pada pagi Aidiladha. Habis semua pakaian raya hangus termasuk juadah untuk tetamu.

“Saya sedih dan pilu apabila melihat nasib keluarga mentua di pagi raya Aidiladha yang terpaksa tinggal sehelai sepinggang,” katanya ketika ditemui pembe­rita di Tanjung Api di sini hari ini.

Hairullah yang pulang ke rumah itu untuk menyambut hari raya korban itu berkata, kerugian akibat kebakaran tersebut dianggarkan kira-kira RM100,000 selepas gagal menyelamatkan harta dan barangan berharga termasuk dokumen penting.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan berkata, tiga jentera bersama 20 anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada keluarga mangsa.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, api sedang marak dan kebakaran itu berjaya dikawal setengah jam kemudian sekali gus dapat mengelak daripada merebak ke rumah berhampiran,” katanya.

Menurut jurucakap itu, pihaknya masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar.