Panglima Angkatan Ten­tera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, Mejar Mohd. Has­ri Zahari, 31, dan Mohd. Yazmi Moha­med Yusof, 39, mempunyai pengalaman luas kerana telah berkhidmat antara 13 tahun hingga 19 tahun bersama TUDM.

“Mewakili pasukan tentera, saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas kehilangan insan tersayang pada bulan Ramadan yang mulia ini. Diharapkan mereka dapat bersabar menghadapi dugaan.

“Kita akan membantu menjaga kebajikan waris mereka dengan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Jenazah Mohd. Hasri dijangka dikebumikan di Felda Lui Muda, Negeri Sembilan manakala Mohd. Yazmi di Tanah Perkuburan Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur selepas bedah siasat selesai, esok.

Jenazah mereka akan ditempatkan di masjid TUDM malam ini dan di­terbangkan esok untuk urusan pengebumian.

Dalam pada itu, Raja Mohamed Affandi kesal dengan tindakan segelintir pengguna media sosial menyebarkan gambar pesawat yang kononnya sudah ditemukan di sebuah lokasi yang dianggap tidak menghormati sensitiviti waris mangsa.

“Keluarga mangsa sedang berduka. Jadi jangan buat perkara kurang manis seperti ini dengan menyebarkan berita palsu,” katanya.