Ahmad Bashah Md. Hanipah

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, bantuan akan diberikan kepada mangsa banjir berdasarkan senarai nama yang diperolehi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bantuan RM100 tersebut akan diberikan terus kepada keluarga yang terlibat terma­suk yang telah pulang ke rumah masing-masing,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Sekolah Menengah Kebangsaaan Mahawangsa di sini hari ini.

Menurutnya, bantuan perbelanjaan harian serta kit bantuan yang mengandungi keperluan dapur seperti beras, gula dan minyak tersebut diharapkan dapat membantu keluarga yang terlibat memulakan kehidupan seperti biasa.

Sementara itu, Ahmad Bashah memberitahu operasi sekolah yang dijadikan pusat pemindahan akan diteruskan walaupun terdapat mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan ber­kenaan.

“Saya telah berbincang dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menempatkan murid-murid dalam kelas-kelas yang digunakan untuk menempatkan mangsa banjir akan ditempatkan dalam bilik lain buat sementara waktu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun banjir belum surut dan terdapat penambahan jumlah mangsa banjir pusat pemindahan di beberapa kawasan namun situasi masih terkawal.

“Semua agensi dan jabatan yang terlibat bekerja keras memainkan peranan ma­sing-masing dalam memantau banjir serta membantu mangsa dari pelbagai aspek termasuk makan minum dan kesihatan mangsa banjir,” katanya.