AMER YUSOF
AMER YUSOF

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Amer Yusof berkata, berdasarkan statistik dan kajian, pihak­nya mendapati kebakaran yang banyak berlaku pada musim perayaan dapat dielakkan jika tiada unsur kecuaian dilakukan penghuni.

Me­nu­rut­nya,­ jumlah ke­bakaran yang meningkat pada musim perayaan disebabkan beberapa faktor antaranya kemungkinan pemilik rumah tidak me­lakukan persediaan rapi apabila hendak pulang ke kampung se­perti terlupa menutup peralatan elektrik.

“Situasi ini sentiasa berlaku apabila mereka meninggalkan rumah tanpa membuat pemeriksaan keselamatan sebelum keluar.

“Selain itu, cara masakan terutama suri rumah, ada antara mereka yang meninggalkan api ketika memasak atau tertidur semasa membuat kuih,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Keselamatan dan Op Raya peringkat JBPM negeri di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah JBPM negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Timbalannya, Mohd. Sani Harul.

Dalam pada itu, Amer memberitahu, pihaknya melakukan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan berisiko seperti pasar raya bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini termasuk kebakaran premis dan bangunan.

“Ini adalah sebagai langkah persediaan. Kita akan membuat pemeriksaan ke atas premis dan mengeluarkan notis kepada pengu­sahanya supaya mematuhi peraturan dan mengambil langkah berjaga-jaga,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Wahab pula menjelaskan, sebanyak 130 premis di negeri ini diperiksa sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Ujarnya, jabatan itu turut bekerjasama de­ngan pasukan kese­lamatan lain antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Op Raya kali ini yang meletakkan tiga lokasi tetap sebagai persediaan menghadapi sebarang kejadian.

“Tiga lokasi itu adalah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang, Temerloh dan Genting Sempah.

“Seramai 10 anggota bertugas bagi setiap syif dengan kekuatan dua jentera. Jadual ditetapkan adalah 12 jam bagi setiap syif,” ujarnya.