Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sanjay Groover, dalam satu ke­nyataan hari ini berkata, usaha memadam dan mengawal kebakaran sedang giat dijalankan pihak bomba, namun insiden itu tidak menjejaskan keseluruhan kilang atau kawasan perumahan mahu pun premis perniagaan yang terletak berhampiran.

“KBC akan menjalankan siasatan terperinci sebaik sahaja keadaan kembali pulih dan segala maklumat tersebut akan diberikan kepada pihak berkuasa.

“Untuk makluman, operasi kilang telah dihentikan sejak tiga minggu lalu dan tiada sebarang kerja-kerja dijalankan ketika kemalangan berlaku,” katanya.

Kebakaran kira-kira pukul 6.15 petang itu menyebabkan persekitaran kawasan terbabit dise­lubungi asap hitam yang tebal dan menjulang tinggi.

Menurut Sanjay, pasukan KBC mengambil langkah awal dengan menutup bekalan gas asli dan lantas menghubungi bomba mengenai kejadian tersebut.

Katanya, kebakaran yang bermula di sebuah tangki simpanan minyak mentah kemudian me­rebak ke tangki bersebelahan tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Seorang pekerja syarikat kontraktor melecur dan segera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Memandangkan, minyak men­­­tah yang terdapat dalam tangki-tangki terjejas adalah pada tahap rendah jadi sedikit seba­nyak dapat mengawal keadaan daripada menjadi lebih serius,” jelasnya.