Tentera Laut AS dalam kenya­taannya berkata, insiden ber­kenaan berlaku pada jam 5.25 pagi waktu tempatan ketika kapal yang dilengkapkan dengan peluru berpandu itu mahu me­lakukan persinggahan yang biasanya dilakukan di pelabuhan Singapura.

Kapal perang itu yang dinama­kan sempena nama bapa dan datuk Senator AS John McCain yang menjadi laksmana dalam angkatan tentera laut negara itu, membawa 300 kelasi dan pegawai dan mempunyai kapasiti muatan 8,300 tan.

Kejadian tersebut merupakan kemalangan kedua membabitkan kapal perang AS dalam masa dua bulan.

“Ketika ini, 10 kelasi hilang manakala lima cedera. Usaha mencari dan menyelamat dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

“Tahap kerosakan dan kece­deraan sedang dinilai dan punca kejadian masih disiasat,” menurut kenyataan tersebut.

Kapal tangki seberat 30,000 tan itu mempunyai saiz tiga kali lebih besar berbanding kapal perang pemusnah itu.

Menurut laman sesawang industri, Marine Traffic, kapal tangki yang membawa ben­dera Liberia dan digunakan untuk mengangkut minyak seberat 12,000 tan dari Taiwan ke Singapura.

Disebalik kerosakan yang dialami, tiada tumpahan minyak berlaku,” kata Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura dalam satu kenyataan..

Dalam perkembangan sama, Presiden AS, Donald Trump menerusi laman Twitter rasminya menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa nahas.

“Ingatan dan doa bersama-sama kelasi Tentera Laut yang berada di #USSJohnSMcCain di mana usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan,” katanya. – REUTERS/AFP