Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) bomba, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis dan Sungai Merah digerakkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.42 pagi.

Katanya, kebakaran itu bagaimanapun dapat dipadamkan oleh pekerja kapal dan pihak bomba bertindak membuat pengudaraan untuk mengeluarkan asap bagi memastikan api padam sepenuhnya.

“Semasa kejadian, terdapat 17 anak kapal dan lima pekerja dari syarikat Berjaya Dockyard sedang membuat kerja-kerja penyelenggaraan.

“Letupan itu menyebabkan dua pekerja Berjaya Dockyard melecur manakala kapten kapal cedera ringan di bahagian muka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu oleh pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut. - UTUSAN ONLINE