Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 7 pagi ketika kanak-kanak berusia tiga tahun itu ditinggalkan bersendirian kerana kakaknya keluar menghantar abang mangsa ke tadika berhampiran lokasi insiden.

“Berdasarkan keterangan kakak mangsa, apabila dia pulang ke rumah, jiran memaklumkan adiknya ditemukan maut di tingkat bawah flat berkenaan.

“Ketika kejadian, ibu dan bapa mangsa keluar berniaga di Bukit Jelutong dan pemeriksaan mendapati pintu di ruang balkoni tidak bertutup serta terdapat kerusi yang digunakan untuk memanjat berhampiran pintu gril,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). - UTUSAN ONLINE