Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam tadi, mangsa, Nur Erika Elmie, 5, diselamatkan bersama seorang wanita, Hasni Md. Hussain, 31, yang turut melecur.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) negeri, kebakaran dipercayai berpunca daripada api dapur ketika aktiviti memasak dilakukan dan menyambar tong simpanan petrol 10 liter.

"Kebakaran melibatkan hampir lima peratus kediaman apabila sofa dan sebahagian kecil struktur yang diperbuat daripada papan terbakar namun berjaya dipadamkan oleh penghuni sebelum ketibaan jentera JBP," kata kenyataan berkenaan.

Menurut JBP negeri, kedua-dua mangsa telah diberi bantuan kecemasan sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini untuk rawatan lanjut. - UTUSAN ONLINE