Mangsa, Nurul Hidayah Mohd Rozaimi meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 petang kelmarin selepas tidak sedarkan diri ketika mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ ll).

Ibunya, Malini Mazlan, 29, berkata, arwah sempat menjalani rawatan di hospital itu selama tiga hari sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir itu.

"Jenazah allahyarham Nurul Hidayah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Talak kira-kira pukul 10.30 malam tadi," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Malini yang sarat mengandung sembilan bulan anak ketiganya memberitahu, ketika itu dia sedang menyuapkan makanan kepada arwah sambil bermain.

Katanya, selang lima minit kemudian arwah hilang daripada pandangan walaupun beberapa kali namanya dipanggil.

"Ketika itu saya duduk ditangga, arwah pula berada kira-kira satu satu meter dari tangga rumah.

"Namun, disebabkan terlindung dengan tiang rumah, saya tidak nampak rupa-rupanya arwah sedang bermain air dalam tong tersebut," ujarnya.

Malini berkata, dia kemudian turun untuk mencari anaknya itu dan dikejutkan dengan arwah ditemukan dalam keadaan tersembam dalam tong air.

"Dalam keadaan panik, saya mengangkat anak saya lalu memanggil keluarga yang berada di atas rumah.

"Air dalam tong tersebut hanya ada separuh. Itu pun lebihan air siraman pokok bunga yang ditadah ibu, Noriah Mohamad, 52," katanya. - UTUSAN ONLINE