Namun, hari ini rutin itu menjadi detik hitam apabila seorang anak pasangan berkenaan yang berusia tiga tahun maut selepas terjatuh dari balkoni rumah mereka.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 7.10 pagi itu, mayat mangsa ditemukan maut dalam keadaan terbaring di tingkat bawah oleh penduduk flat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, Sebelum kejadian, mangsa ditinggalkan bersama kakak dan abangnya di rumah kerana ibu bapa mangsa keluar berniaga nasi lemak.

Katanya, bagaimanapun pada pukul 7 pagi, kakak mangsa berusia 14 tahun keluar menghantar seorang adiknya yang berusia tujuh tahun ke sebuah tadika di Blok D, PPR berkenaan.

“Berdasarkan keterangan ka­kak mangsa, kanak-kanak itu ditinggalkan keseorangan kerana sedang tidur dan demam.

“Bagaimanapun, apabila dia pulang ke rumah, jiran memaklumkan adiknya telah terjatuh dan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zani, siasatan pihak polis mendapati terdapat sebuah kerusi plastik di ruang balkoni yang tidak bertutup de­ngan jeriji di bahagian atasnya.

“Kita percaya mangsa memanjat berhampiran jeriji menggunakan kerusi plastik itu sebelum terjatuh.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk tujuan bedah siasat,” ujarnya.