Mangsa, Nur Damia Hannah Kamarudin, 11, meninggal dunia kira-kira pukul 9 malam tadi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh manakala rakannya yang juga pembonceng motosikal, Nur Nabila Natasha Nizan, 12, mengalami kecederaan dan sedang dirawat di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.40 petang ketika mangsa dan rakannya dalam perjalanan pulang ke selepas menghadiri majlis sambutan hari raya di Dewan Felda Jenderak Selatan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki mereka telah dihempap sebatang pokok yang tumbang akibat bencana ribut.

“Akibat kejadian itu, mangsa dan rakannya terjatuh bersama motosikal. Mangsa dan rakannya dibawa ke Hoshas untuk rawatan dan mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 9 malam tadi,” katanya di sini hari ini.

Zundin berkata, motosikal yang ditunggang mangsa adalah milik ibunya.

“Punca kematian mangsa masih belum diketahui,” katanya. - UTUSAN ONLINE