Nenek mangsa, Rokiah Idris, 51, memberitahu, mayat kanak-kanak itu ditemukan pasukan penyelamat dan bapa saudaranya ketika melakukan operasi mencari kira-kira pukul 10 pagi ini.

Katanya, mayat Ahmad Fawas ditemukan terapung kira-kira satu kilometer dari lokasi dia terjatuh.

“Alhamdulillah, akhirnya arwah ditemukan. Hati siapa tidak sedih melihat cucu pergi untuk selama-lamanya. Walau bagaimanapun kami sekeluarga reda menerima ketentuan ini.

“Arwah dibawa ke Hospital Kuala Krai terlebih dahulu dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peria Baru hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam, Ahmad Fawas, dilaporkan terjatuh ketika cuba menyeberangi jambatan di Kampung Sungai Peria yang dinaiki air separas 0.2 meter.

Kanak-kanak berkenaan mengikut sepupunya yang berusia 10 tahun untuk menyeberangi sungai tetapi tergelincir dan dia hilang selepas dihanyutkan arus air sungai deras.