Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Cyberjaya, Izaman Adnan berkata, dalam kejadian pada pukul 4.43 pagi itu kakak mangsa yang berumur lima tahun pula mengalami kecederaan.

Beliau berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.27 pagi, difahamkan ketika kejadian bapa dua kanak-kanak terbabit tiada di rumah.

“Sebanyak 11 anggota bersama dua buah jentera dari balai Cyberjaya bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi pemadaman dan mereka turut dibantu oleh enam lagi anggota dari balai JBPM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran pada pukul 5.14 pagi, setelah kebakaran dipadamkan, pihak bomba telah menemukan mayat kanak-kanak malang itu keadaan rentung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Izaman, kakaknya mangsa berjaya diselamatkan semasa kerja-kerja pemadaman api dilakukan, kebakaran itu telah memusnahkan 100 peratus rumah berkenaan dan 50 peratus rumah bersebelahan.

Tambahnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - UTUSAN ONLINE